Monday, February 28, 2011

Laporan Kem Ikhtiar Hidup, Anugerah Alam Camp, Batangsi, Semenyih

Pada 25-27 Februari 2011, satu program Kem Ikhtiar Hidup (Tahap 1) telah diadakan di Anugerah Alam Camp, Batangsi, Semenyih dengan kerjasama Lang Buana Outdoors Activity. Bas bertolak dari UniKL MICET tepat pada pukul 3.00 petang. Para peserta tiba di luar kawasan kem kira-kira pada pukul 4.45 petang.

Para peserta menuju ke kawasan kem dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda. Kebanyakan peserta yang menyertai program ini tidak pernah merasai pengalaman sebegini. keadaan jalan tanah merah yang sungguh mencabar telah diterokai dan dirasai oleh semua peserta.

Taklimat ringkas diberikan sebelum para peserta diagihkan kepada tempat penginapan masing-masing. Semua peserta menginap di pondok berlantaikan dan berdindingkan buluh. Selepas minum petang, para peserta diberikan kebebasan untuk meneroka panorama sekeliling kawasan kem selain berehat. Untuk pengetahuan, program ini turut disertai oleh rakan-rakan dari USIM. Sesi ramah mesra antara peserta turut diadakan. Setelah majlis solat berjemaah diadakan, sesi ice-breaking diadakan. Ini bertujuan untuk mengenali di antara satu sama lain dengan semua peserta yang terlibat. Kebanyakan peserta yang terlibat merupakan mahasiswa Tahun Pertama. Selepas itu, modul pembangunan dan keyakinan diri diadakan untuk menaikkan semangat para peserta serta menguji keupayaan diri masing-masing. Program hari pertama diakhiri dengan minum malam dengan susasana sejuk serta hujan.

Hari kedua, setelah solat subuh berjemaah, semua peserta memulakan hari dengan aktiviti senam sihat. Aktiviti regangan badan dan jogging diadakan sehingga ke puncak menara (kira-kira 4-5km). Tepat jam 9.00 pagi, modul orienteering diadakan. Modul ini bertujuan untuk menguji kecekapan minda dan kesefahaman dalam kumpulan untuk mencari arah berpandukan kompas. Teori menggunakan kompas diadakan terlebih dahulu sebelum sesi praktikal diadakan. Semasa sesi praktikal, setiap kumpulan diberikan tugas untuk membuat check point berpandukan bearing yang ingin diletakkan. Kebiasaannya, peserta harus mencari bearing. tetapi kali ini, setiap kumpulan harus menandakan tempat-tempat tertentu dengan bearing yang tepat. Sesi kedua pula, kumpulan yang berlainan akan mencari tempat tuju berpandukan bearing yang telah diberikan oleh kumpulan yang lain. Semua kawasan kem, sungai, kebun dan hutan diterokai dengan hanya berpandukan bearing yang ditentukan sendiri oleh kumpulan lain. Aktiviti ini sungguh mencabar fizikal serta kesefahaman dan kerjasama dalam kumpulan apabila menghadapi saat-saat genting. Pada sebelah petang, aktiviti flying-foz diadakan. Dengan mengambil kira aspek keselamatan, semua peserta berjaya mengharungi cabaran ini. pada sebelah malam, camp-fire diadakan. Ia dipenuhi dengan aktiviti kebudayaan oleh setiap kumpulan dengan bertemakan konsep 60-an. Ternyata, waktu kuliah yang padat di kampus tidak melumpuhkan skill para peserta sebaliknya mencungkil bakat yang berlainan dengan membuat persembahan. Aktiviti malam diakhiri dengan sesi night-walk. Diakhir sesi ini, para peserta dilepaskan seorang demi seorang untuk pulang ke kawasan kem. Fobia berjalan seorang diri di waktu tengah malam dapat diatasi dengan jayanya di samping menikmati panorama indah di malam hari.

Hari terakhir dimulakan dengan aktiviti solat berjemaah, senam pagi dan sarapan pagi. Aktiviti yang diadakan seterusnya adalah trekking. peserta dibawa menyusuri jalan air, lawatan ke kebun buah dan sayuran serta lawatan ke tapak pembiakan ikan. Selepas minum pagi, aktiviti water obstacle diadakan. Para peserta harus menyusuri sungai dengan halangan-halangan yang ditetapkan. Mereka harus menjaga barang amanah iaitu lilin dan batang mancis. Strategi dirangka agar barang yang diamanahkan itu tidak basah atau hanyut dibawa arus deras. Semua kumpulan berjaya menghidupkan lilin yang bermakna mereka berjaya membawa cabaran ini dengan cemerlang. Program diakhiri dengan sesi penutup oleh para peserta dan para jurulatih.  




TERIMA KASIH KEPADA
SEMUA JURULATIH DAN SEMUA PESERTA 
YANG TERLIBAT


-YAKIN-BOLEH-GEMILANG-




riang-ria menaiki 4wd

berjaya tiba dengan selamat tanpa kecederaan.. ;D

di dalam rumah buluh..

No comments:

Post a Comment